Arahan larangan pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini sememangnya memberikan kekecewaan kepada orang ramai. Walaupun kecewa dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu namun rakyat Malaysia memahami ianya untuk kebaikan bersama.
Sama seperti Malaysia, negara jiran Indonesia turut mengambil langkah yang sama dengan melarang penduduknya dari pulang berhari raya di kampung. Tetapi belum sempat arahan tersebut diumumkan, rakyat Indonesia di Jakarta terlebih dahulu pulang ke kampung halaman masing-masing.
Berdasarkan tinjauan, kira-kira 7 peratus daripada rakyatnya telah pulang ke kampung terlebih awal sebelum larangan tersebut berkuatkuasa. Lebih memburukkan keadaan, kepulangan mereka dari bandar Jakarta ini telah memberikan jangkitan COVID-19 kepada warga emas yang tinggal di kampung.
Seorang warga emas berusia 72 tahun menerima jangkitan wabak itu daripada cucunya yang baru pulang dari Jakarta pada pertengahan bulan lepas. Manakala seorang lelaki yang tinggal di Jawa Tengah meninggal dunia dipercayai mendapat jangkitan dari adiknya yang juga baru pulang dari Jakarta.
Lelaki tersebut mula menunjukkan simptom menerima jangkitan walaupun tidak mempunyai rekod keluar negeri atau ke mana-mana kawasan zon merah. Tetapi adiknya yang pulang dari Jakarta bersama tujuh lagi yang lain didapati kesemuanya positif COVID-19.
Pada bulan yang sama, kanak-kanak berusia 2 tahun juga menerima jangkitan gara-gara bapanya yang baru pulang dari Jakarta.
Walaupun terdapat larangan mudik di seluruh negara atau pulang ke kampung halaman menjelang Hari Raya ini, rakyat Indonesia ditangkap cuba menyelinap pulang dengan bersembunyi di dalam bekas trak dan tong bas. Ini berlaku kerana pesalah akan dikenakan denda hingga 100 juta rupiah (RM29,048) dan penjara satu tahun.
Larangan mudik Hari Raya Aidilfitri di Indonesia jatuh pada 23 dan 24 Mei tahun ini berkuatkuasa pada 24 April lalu. Ianya bertujuan untuk menghentikan penyebaran COVID-19 dari Jakarta, pusat wabak dan wilayah berisiko tinggi lainnya ke seluruh wilayah kepulauan yang luas.