Tindakan Pelajar Jadikan Starbucks Sebagai Tempat Belajar Kurang Disenangi

Trending

Tindakan Pelajar Jadikan Starbucks Sebagai Tempat Belajar Kurang Disenangi

Perpustakaan kosong, sudut membaca di bilik darjah juga kosong, di rumah tiada motivasi belajar, di sekolah pun tak mahu membaca kerana sibuk berborak dengan rakan. Di mana remaja sekarang menjinjing buku? Di mana tempat belajar mereka?

Advertisement

Dunia dah berubah, generasi sekarang juga bertukar selera termasuk memilih tempat mengulangkaji pelajaran.
Jalan-jalan masuk ke restoran makanan segera seperti McDonalds, lazimnya yang berdekatan kolej atau universiti, kafe dan restoran mamak berkemudahan wifi, ya, itulah “sudut membaca” pilihan mereka.

Belajar dalam ruang yang terbuka atau awam, dengan segelas air teh atau kopi. Bagi yang mewah pula dengan secawan kapucino panas dibeli pada harga RM13.90 dihirup perlahan sambil menyelak satu persatu muka surat, tangan yang sama juga ligat mengambil nota.

Inilah budaya pelajar masa kini, berbeza dengan generasi sebelum ini yang tiada pilihan sama ada dari segi kemudahan mahupun kewangan. Lagipun tidak pernah terfikir pula boleh belajar di kedai makan. Kedai makan waktu dahulu hanyalah untuk makan sahaja, kedai kopi pula tempat lepak si bapa bersama kawan sambil menghirup teh atau kopi, pekena roti canai.

Starbucks, Coffee Bean, Gloria Jean’s, memang tak pernah dengarlah…

Baru-baru ini seorang pelajar di Singapura telah berkongsi rasa tidak puas hati apabila dia diminta mengemas dan memberi tempat kepada pelanggan lain ketika sedang belajar di sebuah kafe Starbucks di Singapura.

Memetik laporan portal stomp.straitstimes, pelajar itu melapor kejadian di laman Facebook rasmi Starbucks Singapura dan mengharapkan pelajar sepertinya yang datang menyiapkan kerja sekolah atau kolej tidak lagi dihalau untuk memberi tempat itu kepada pelanggan lain.

“Hari ini seorang pelayan di Starbucks mengarahkan saya meninggalkan kafe semasa saya sedang menyiapkan tugasan. Saya hanya berada di sana kurang sejam dan belum menghabiskan minuman saya. Ia pengalaman yang mendukacitakan dan memalukan.

“Terdapat banyak cara baik untuk melakukannya. Tetapi apa yang saya lalui adalah antara yang paling buruk. Di mana hilangnya ‘pengalaman Starbucks’ kami?” tulisnya lagi.

Malangnya, pelajar itu pula kena serang selepas netizen yang mungkin daripada generasi “lama” mengambil peluang mengingatkan pelajar itu, kafe adalah tempat makan minum dan bukan belajar.

Edson Bo dalam maklum balasnya menyambut baik “perbuatan halau” pelayan Starbucks itu.

“Saya setuju dengan tindakan menghalau pelajar daripada komuniti menunjuk-nunjuk cawan Starbucks sambil menyiapkan tugasan kecuali mereka memang tiada tempat untuk belajar kerana semua perpustakaan penuh.”

Manakala, netizen, Janice Wee pula mempersoal sebab pelajar memilih kafe yang dikerumuni orang dan pergerakan orang ramai untuk belajar.

Beliau juga berkata perlakuan itu tidak adil kepada mereka yang datang untuk minum kopi sebaliknya semua meja dipenuhi pelajar.

“Starbucks menjalankan perniagaan kedai kopi bukan tempat penjagaan pelajar,” tulisnya.

Namun tidak kurang juga mereka yang menyokong pelajar ini dengan menyatakan ia adalah hak pelanggan tidak kira pelajar atau dewasa berkerjaya.

Harmeshver Sigh berkata setiap orang mempunyai pilihan persekitaran belajarnya sendiri. “Mereka boleh belajar di kedai mamak pun tetapi mungkin ia tak cukup ‘cool’ maka mereka pilih tempat seperti McDonalds atau Starbucks,” katanya.

Apapun, akhirnya ia melibatkan hubungan sesama pelanggan dan pekerja kafe serta hak mereka yang membayar untuk memilih tempat bersosial.

Source : FMT

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...