Aplikasi TikTok sememangnya digemari oleh kanak-kanak masa kini. Melalui aplikasi tersebut, mereka dapat berkongsi video pendek yang dihasilkan sendiri.
Bagaimanapun rangkaian perkongsian video milik China itu didenda sebanyak AS$5.7 juta (RM23.2 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak secara haram.
Menurut Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) AS, jumlah penalti yang dikenakan terhadap rangkaian sosial yang turut dikenali sebagai Musical.ly itu merupakan yang terbesar bagi siasatan privasi.
Sementara itu menurut Pengerusi FTC, Joe Simons, pengguna yang kebanyakannya dalam kalangan golongan muda menggunakan aplikasi tersebut tanpa kebenaran ibu bapa.
Tindakan itu melanggar Akta Perlindungan Privasi Kanak-Kanak Dalam Talian (COPPA).
“Pengendali Musical.ly sedia maklum ramai kanak-kanak menggunakan aplikasi tersebut namun mereka masih gagal mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum mengumpul maklumat seperti, alamat emel dan beberapa maklumat peribadi lain daripada pengguna berumur bawah 13 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, FTC menegaskan mereka serius dan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana syarikat yang melanggar undang-undang.
Sumber Berita: Utusan Online