Tikar Murah Penyebab Kanser Dan Gangguan Sistem Endokrin? Kajian Masih Tidak Dapat Buktikannya

Trending

Tikar Murah Penyebab Kanser Dan Gangguan Sistem Endokrin? Kajian Masih Tidak Dapat Buktikannya

Sejak beberapa hari ini tersebar mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa tikar murah yang biasa dijual di kedai untuk kegunaan kanak-kanak mengandungi BPA yang boleh mengakibatkan kanser, obesiti dan gangguan sistem endokrin.

BPAPDakwaan itu menjadi viral di Internet dan mendapat banyak reaksi dari ibu bapa kerana mereka membelikan tikar itu untuk kegunaan anak-anak. Kerisauan itu sememangnya berasas kerana sudah lama kita dengar tentang kesan negatif BPA, malah anda negara yang mengharamkan ia digunakan untuk penghasilan barang-barang yang diperbuat dari plastik dan lain-lain. Namun, sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?

Advertisement



Dr. Suhazeli Abdullah dari Medical Mythbuster Malaysia telah memberikan penerangan mengenai BPA. Adakah kesan negatif BPA sesuatu yang memang telah dibuktikan? Ikuti tulisan beliau:

*Tikar Beracun?*

Saya terkesima sekejap membaca ulasan akhbar tempatan yang menyeru orang ramai berhati-hati dengan tikar beracun. Tikar murah yang banyak di pasaran telah dikatakan mengandungi bahan kimia beracun seperti Bisphenol A (BPA) dan Phthalates (P).[1] Kedua-dua bahan ini dikaitkan dengan penyebab kanser dan penyakit kegemukan serta kencing manis di kalangan kanak-kanak.

Terlintas juga dalam benak minda ini, anak-anak saya obese mungkin akibat tikar beracun ini? Tetapi tak mungkin sebab mereka bukannya makan tikar tu. Kami menggunakan sekali sekali apabila bersenda mesra piknik di tepi pantai. Mohon dijauhkan bahaya pada masa depan agar anak-anak saya tidak dihinggapi penyakit kanser.

Saya buat sedikit carian melalui rujukan yang berautoriti seperti PubMed, NIH, WHO dan FDA.[2,3] Rupa-rupanya terdapat beberapa buah negara yang melarang penggunaan pembungkusan makanan seperti bekas air, bekas makanan dan botol susu bayi yang mengandungi BPA/P. Negara kita juga pernah (2012) membuat larangan yang sama, melarang penjualan botol yang mengandungi bahan tersebut.[4] Namun tiada pula larangan ke atas penjualan yang berbentuk tikar atau peralatan rumah lain. Mungkin juga pada masa tersebut masih belum ada lagi di pasaran bahan berkenaan yang dijadikan bahan asas dalam pembuatan tikar plastik. Sebagai makluman bahawa Phthalates juga terdapat dalam gam pelekat, lilin, dakwat, barang kosmetik, racun serangga dan produk perubatan.[9]

Dari sudut kajian sains perubatan, kedua-dua bahan tersebut masih belum terbukti secara sahih boleh mengakibatkan kanser atau ganguan sistem endokrin manusia (yang menyebabkan kegemukan dan kencing manis). Terdapat beberapa kajian yang dilakukan di Kanada, Eropah dan Jepun yang cuba mengaitkan risiko kanser serta gangguan endokrin, tetapi semua kajian berkenaan tidak dapat membuktikan dakwaan (inconclusive). Kajian tersebut dilakukan ke atas tikus dengan kaedah memberi bahan BPA/Phthalates secara terus. Laporan yang mereka kemukakan adalah, memerlukan kajian lanjut lagi dan mengambil masa yang lebih lama bagi menatijahkan hasil seperti yang didakwa. Perkara ini disahkan juga melalui laporan dari International Agency for Research on Cancer (IARC).[5, 6] Ini bermakna tiada pertalian terus antara BPA/P dengan kejadian penyakit kanser, kegemukan dan kencing manis apabila kita menggunakan tikar atau alatan rumah berkenaan. Begitu juga dengan kejadian asma, kencing manis: Tiada keputusan muktamad yang boleh mengaitkan phthalates dengan penyakit-penyakit itu.[7,8]

Cuma, para pengkaji dalam bidang perubatan menaruh risiko kejadian mungkin berlaku jika sekiranya mengambil BPA/P secara oral (melalui bekas yang digunakan). Oleh yang demikian, beberapa buah negara termasuk Malaysia juga mengharamkan botol BPA. Saya agak bersetuju dengan Prof Mustafa Ali yang mengesyorkan pihak berkuasa meneliti cat yang digunakan bagi melukis atas tikar tersebut, samada lulus atau tidak di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“Semoga Bermanfaat”

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
fb.com/drsuhazeli
?#?MedicalMythbustersMalaysia?
?#?MedTweetMY?

16.8.16
Rujukan Silang

Begitulah penerangan dari seorang pakar perubatan. Nampaknya dakwaan tersebut masih belum disertakan dengan bukti yang sahih, namun terpulang pada anda sama ada masih mahu menggunakan tikar BPA/P tersebut atau tidak. Buatlah pilihan yang terbaik.

Sumber: Medical Mythbuster Malaysia amazingnara.com

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...