Tiga pegawai tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Julai tahun lalu.
Tertuduh ialah Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30, dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41. Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya pada 28 Julai 2025 antara pukul 2 petang hingga 3 petang di Lapangsasar Ulu Tiram Utara.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa. Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah pada awalnya menetapkan jaminan RM25,000 namun kemudian menurunkannya kepada RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat menyerahkan pasport antarabangsa.
Mahkamah menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam, serahan dokumen serta kehadiran peguam pemerhati daripada pihak keluarga. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
