Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengesahkan bahawa dia tidak akan turut serta di dalam parti baru Dr Mahathir Mohamad iaitu Pejuang.
Dia yang juga bekas ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebaliknya akan membentuk parti politiknya sendiri terdiri daripada berbilang kaum dan berasaskan pada belia negara.
“Sekiranya di Thailand mereka dapat menubuhkan Future Forward, di Perancis mereka dapat menubuhkan En Marche di bawah Macron, saya rasa sudah tepat pada masanya di Malaysia untuk memulai gerakan yang terdiri dari orang-orang muda.”
Menurutnya dia akan mengumpulkan belia dari kalangan teknokrat muda, profesional, ahli politik muda dari berbagai latar belakang untuk memastikan bahawa suara generasi muda akan didengari di Parlimen serta di luar Parlimen.
Dia tidak mahu lagi suara belia dipandang ringan oleh kerajaan dan masyarakat.
“Sudah tiba masanya kini, politik tidak akan diungguli oleh orang yang sama serta dikendalikan dan dimonopoli oleh orang lama yang sama.”
Syed Saddiq berkata demikian ketika berkempen untuk calon Pejuang, di Slim.
Tun Mahathir Mohamad yang merupakan bekas ketua PPBM, mengatakan bahawa dia akan menubuhkan parti politik Melayu baru yang bebas kerana perjuangan asal partinya yang lama telah disingkirkan.
Sewaktu Tun Mahathir pertama kali mengumumkan parti itu, dia disertai oleh anaknya Mukhriz, Marzuki Yahya, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.
Kelibat Syed Saddiq yang sebelum ini merupakan antara orang kuat Tun Mahathir tidak langsung kelihatan lalu meninggalkan pelbagai spekulasi oleh rakyat.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.