Baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan untuk menjauhkan kubur suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu dari liang lahad penghuni kubur lain.
Sebagai peringatan untuk masyarakat
Hal tersebut telah dimaklumkan oleh Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad selepas mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa pada hari Jumaat lalu.
Susulan mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek dari liang lahad lain merupakan satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan perkara yang sama dilakukan suspek.
Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
Jenazah tidak dibawa ke masjid atau surau
Bukan itu sahaja, dilaporkan juga jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk pengurusan jenazah.
Justeru itu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau rumah keluarga.
Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya.
Untuk info, jenazah suspek dilaporkan dikebumikan pada jam 12.30 tengahari tadi di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru dan dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang hadir atas tujuan keselamatan.