Patah tumbuh hilang berganti, selepas putus tunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi sebelum ini, pelakon Elfira Loy sudah bertemu cinta baharu dan khabarnya sudah pun mengikat tali pertunangan dengan jejaka yang dikenali sebagai Faris K Anuar dalam sebuah majlis tertutup pada Sabtu lalu.
Pilihan hati Elfira itu bukan calang-calang orangnya, Faris bertugas sebagai Pengurus Besar bagi sebuah syarikat telekomunikasi terkenal dan beliau juga merupakan anak kepada seorang usahawan bergelar Datuk.
Menerusi portal Astro Gempak, pasangan ini tidak mahu bertunang lama-lama dan bakal bernikah pada Januari tahun depan. Untuk pengetahuan semua, Faris juga sebenarnya baru sahaja putus cinta pada awal tahun ini sebelum bertemu dengan Elfira.
Faris dan Elfira baru sahaja berkenalan pada bulan Ramadhan lalu. Keputusan mereka untuk mengikat tali pertunangan mendapat pelbagai komen daripada netizen. Malah, semasa mereka dikatakan bercinta, ada pihak yang menuduh Elfira sengaja mencari lelaki kaya untuk menyelesaikan masalah hutangnya.
Apa-apa pun, kami mendoakan kebahagiaan mereka berdua dan semoga segala perancangan berjalan dengan lancar.