Setelah tiga tahun percintaan bersama pelakon Aiman Hakim Ridza terlerai di tengah jalan, Fathia Latiff akui pengalaman tersebut mematangkan dirinya.
Fathia lebih selesa untuk hidup solo daripada terus dikecewakan lagi dan pada pendapatnya perkahwinan bukanlah jaminan kebahagiaan dalam hidup seseorang.
Bukan saya tidak percaya pada institusi perkahwinan tetapi pengalaman gagal dalam percintaan sebelum ini banyak mengajar dan mematangkan diri ini. Biarlah saya hidup sendirian dulu sehinggalah bertemu dengan lelaki yang tepat untuk dijadikan kekasih dan calon suami.
Jika dulu, saya yang mengejar cinta lelaki tetapi kini tidak lagi. Selepas adik perempuan berkahwin, pastinya emak juga mahu melihat saya berumah tangga. Saya pula sebaliknya melihat perkahwinan bukan keutamaan buat masa sekarang.
Lebih fokus kepada kerjayanya dan mempunyai sikap yang lebih serius kini, Fathia turut akui itu mungkin salah satu sebab mengapa lelaki takut untuk mendekati dirinya.
Bab memilih cinta hati dan pasangan hidup ini memang perlu difikirkan seeloknya, jangan main tangkap muat. Kelak kalau dikecewakan lagi luka yang dialami pastinya lebih parah. Tidak mengapa, pastinya ada jodoh yang sudah tertulis buat Fathia, cuma cepat atau lambat sahaja.