Sebelum ini, kecoh di media sosial tentang berita jemaah menteri akan menggunakan kenderaan Vellfire sebagai kenderaan rasmi. Rata-rata rakyat tidak menyambut baik dengan idea itu memandangkan kos yang dilihat terlalu tinggi dan tidak patut.
Baca: Toyota Vellfire, Honda Accord Dipilih Sebagai Kenderaan Rasmi Menteri Dan Pegawai Tertinggi
Mungkin kini rakyat boleh menarik nafas lega kerana cadangan itu nampaknya telah dibatalkan. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan menteri kabinet akan terus menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi dan bukannya Toyota Vellfire.
Sekarang kita dapat maklumat, atau pengesahan, bahawa kereta Perdana mencukupi. Ini tak jadi masalah.
Keputusan ini dibuat selepas syarikat yang dilantik untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan dapat mengesahkan bahawa terdapat bekalan kereta Perdana yang mencukupi.
Sebelum ini, syarikat tersebut tidak dapat membekalkan kenderaan Proton Perdana yang mencukupi menyebabkan terpaksa memilih kenderaan dengan model yang sudah tersedia iaitu Toyota Vellfire. Pemilihan kenderaan mewah itu hanyalah pilihan kedua selepas dimaklumkan stok Perdana yang tidak mencukupi.
Kita mahu kekalkan Perdana tetapi kerana syarikat tidak keluarkan Perdana yang mencukupi bagi Menteri dan Timbalan Menteri, itu menjadi masalah. Itu sebab kita diberikan pilihan (kenderaan lain). Bagaimanapun sekarang, kita sudah dapat pengesahan bahawa kereta Perdana mencukupi dan sebab itu, kita akan kekal dengan Perdana.
Lim Guan Eng juga berkata kontrak yang diberikan kepada syarikat berkenaan dibuat oleh jawatankuasa tender dan dirinya tidak terlibat sama sekali. Sebelum ini dimaklumkan, peruntukan sebanyak 32 unit Toyota Vellfire diberikan untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.