Kes Nur Sajat menunaikan ibadah umrah dengan berpakaian lengkap seperti seorang wanita, kini semakin serius. Bukan sahaja dia didakwa telah mencemarkan Tanah Suci, tetapi ia turut memberikan impak negatif kepada rakyat Malaysia yang mungkin akan menghadapi masalah untuk menunaikan umrah selepas ini.
Terbaru, pihak Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan umrah Sajat bersama keluarga dan rakan-rakannya sudah mengambil tindakan susulan atas insiden yang berlaku dan nasihat melalui Mutawif yang bertugas di Makkah.
Pihak mereka juga sudah melaporkan perbuatan Sajat memakai pakaian wanita dan bertelekung itu kepada pihak Konsolat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi untuk tindakan selanjutnya.
Menurut pihak Albayt, mereka sudah memaklumkan kepada pihak pelanggan terdapatnya perbezaan pengurusan dan tatacara hukum hakam ibadah umrah serta ziarah mengikut jantina asal mereka. Namun, apa yang dilakukan oleh Sajat adalah di luar jangkaan.
Malah, mereka juga sudah menasihati usahawan tersebut agar tidak memuat naik atau mempublisitikan ibadah umrah tersebut di media sosial kerana tidak mahu timbul sebarang salah faham berikutan status jantinanya yang sehingga kini masih menjadi teka-teki dan pastinya isu berkenaan akan menyentuh sensitiviti ramai pihak.
Terdahulu, agensi pelancongan itu tampil menjelaskan usahawan itu mengikut garis panduan pemakaian yang ditetapkan semasa proses perlepasan di lapangan terbang.
Bagaimanapun, sebaik tiba di Tanah Suci Sajat “menukar identiti” menjadi “wanita” semula.