Umum mengetahui kemelut rumah tangga pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila masih belum berkesudahan lagi sejak beberapa bulan lalu. Kes pasangan tersebut semakin rumit dan mereka diperintah untuk jalani proses timbang tara kerana tiada ruang berdamai.
Pelbagai spekulasi timbul mengenai masalah perkahwinan mereka termasuklah dakwaan mengatakan ada campur tangan keluarga di pihak Nabila. Menjawab dakwaan tersebut, adik Nabila iaitu Neelofa berkata, tidak adil sekiranya orang luar menuduh dirinya dan keluarga mencampuri urusan dalam konflik rumah tangga yang dihadapi kakaknya.
Menurut Neelofa, adalah normal untuk ahli keluarga termasuk dirinya memberikan sokongan kepada Nabila yang ketika ini di ambang perceraian. Pastinya tindakan sama dilakukan oleh keluarga Sharnaaz sendiri.
Tak adil apabila ada tuduhan yang mendakwa keluarga saya masuk campur. Sudah semestinya kami memberikan sokongan kerana Nabila darah daging kami.
Saya pasti keluarga dia juga sama, memberikan sokongan terhadap Sharnaaz. Jadi tak adil untuk menuding jari kerana kedua belah keluarga sama sahaja, menyokong dan bersuara.
Dalam pada itu, Neelofa meluahkan rasa kesal dengan tindakan Sharnaaz yang merumitkan dan memanjangkan lagi persengketaan apabila enggan melepaskan Nabila dengan cara mudah.
Apa yang saya kesalkan ialah perkara ini dipanjangkan, walhal ia boleh diselesaikan dengan mudah.
Terdahulu, Sharnaaz menolak permohonan cerai yang difailkan isterinya pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur kerana ingin menyelamatkan rumah tangganya yang dibina sejak dua tahun lalu. Mahkamah kemudiannya memerintahkan satu Jawatankuasa Pendamai dibentuk bagi menyelesaikan isu itu. Pasangan tersebut berkahwin pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Jebat Jayden.