Serius Abang Nara rasa terharu sangat apabila membaca kenyataan Memey Suhaiza, Abby Abadi dan Norman Hakim di dalam Metro Ahad semalam. Inilah yang dikatakan pengorbanan untuk masa depan anak-anak. Abang Nara respek sangat-sangat dengan Abby Abadi yang mengambil inisiatif untuk berbaik-baik dengan Memey dan Norman.
Abby Abadi mengakui yang hatinya sering berbisik untuk berbaik semula dengan Memey dan Norman untuk masa depan anaknya. Kata Abby:-
Rasanya tiada sebab untuk saya terus menjauhkan diri daripada mereka suami isteri kerana saya terlalu kasihkan anak. Saya tak mahu anak menjadi mangsa keadaan apabila melihat keadaan kami yang seakan-akan tiada kesudahan. Saya bukan pendendam dan saya terima apa saja yang berlaku memang tertulis untuk saya. Yang berlalu biar berlalu, lagipun kasih sayang saya pada Norman berbeza berbanding dulu. Itu antara yang membuat saya kuat depan mereka.
Dan Abang Nara tambah terharu membaca kisah pertemuan Memey dan Abby yang menjadi titik tolak hubungan baik mereka. Kata Memey:-
Selepas menanti empat tahun, akhirnya kami berbaik semula. Mula saya dengan abang (Norman) datang mengambil anak di rumah kak Abby dan masa itu saya mengambil kesempatan untuk bersalam dengannya. Selepas bersalam, dia terus peluk saya. Sebelum ini kami banyak kali berjumpa, tapi masing-masing berdiam diri. Namun apabila kami berbaik semula, ia petanda baik untuk kami sekeluarga.
Walaupun timbul spekulasi yang menyatakan Norman dan Abby bakal rujuk semula, namun Abby 100% menafikan hal ini. Bagi Abby, dia hanya mahu bersama Memey dan Norman membesarkan anaknya tanpa menjadi orang ketiga. Semoga permulaan yang baik ini berkekalan sehingga bila-bila untuk mereka sekeluarga. Sama-sama kita doakan.