Isteri kepada pelakon dan pengacara terkenal, Fikry Ibrahim iaitu Siti Khalizah Alihan bergegas pulang sejurus selesai prosiding pertama kes penceraian yang difailkan terhadap suami.
Memetik laporan OhBulan!, Siti Khalizah memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang kenyataan dan meminta semua pihak menghormatinya.
Saya minta maaf, saya tak boleh cakap apa-apa.
Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Khalizah iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib memaklumkan tiada persefahaman dalam perkahwinan menjadi punca anak guamnya menuntut penceraian.
Hari ini adalah sebutan hari pertama, namun defendan (Fikry) tidak hadir dan mahkamah menetapkan satu tarikh baru untuk kedua-dua pihak capai kata sepakat untuk berdamai.
Difahamkan, prosiding seterusnya akan berlangsung pada 10 September 2025.
Masih ada ruang berdamai
Tambah Muhammad Afiq lagi, Khalizah turut memaklumkan kepadanya bahawa masih ada ruang untuk dia dan Fikry berdamai sekaligus menyelamatkan rumah tangga mereka.
Khalizah memfailkan cerai sekitar Mei. Buat masa ini, Khalizah masih mahu berbincang untuk berdamai, masih beri ruang untuk pendamaian.
Sekadar rekod, Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Januari dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Kedah.
Turut difahamkan, ini merupakan perkahwinan kedua untuk Khalizah.