Masyarakat dunia, terutamanya yang menyambut Syawal, bakal meraikan Aidilfitri dalam masa terdekat.
Antara perkara yang paling dinanti, lagu-lagu raya sudah mula berkumandang di corong radio tempatan bagi memeriahkan sambutan tahun ini.
Meskipun banyak lagu baharu diterbitkan, pendengar masih terbiasa dengan alunan lagu raya malar segar yang penuh nostalgia.
Namun, tanpa disedari, tiga lagu ikonik ini sebenarnya tidak dicipta khusus untuk perayaan tersebut, tetapi tetap menjadi pilihan utama menjelang Aidilfitri.
1.Selamat Datang Sayang
Walaupun dikenali sebagai penyanyi rock tanah air, Datuk Hattan, 60, atau nama penuhnya Mohd Shukri Shahabudin, turut menghasilkan sebuah lagu yang sering dikaitkan dengan Aidilfitri.
Namun, lagu Selamat Datang Sayang, yang tersenarai sebagai salah satu lagu hit Aidilfitri, sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan perayaan tersebut.
Jika diteliti liriknya, tiada satu pun perkataan atau ayat yang merujuk kepada sambutan Syawal.
Walaupun begitu, lagu ini tetap menjadi simbolik Aidilfitri kerana sering dimainkan dan dinyanyikan sepanjang bulan Syawal.
2. Balik Kampung
Lagu Balik Kampung nyanyian seniman legenda, Allahyarham Sudirman Arshad, cukup popular dalam kalangan pendengar dan sering dikaitkan dengan Aidilfitri.
Namun, lagu ini sebenarnya didedikasikan khas untuk golongan pelajar yang pulang ke kampung bagi tujuan mengundi semasa pilihan raya.
Menggambarkan keriangan penuntut di perantauan ketika musim cuti, lagu ini dicipta bagi menyemarakkan semangat belia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Penerbit dan komposer lagu tersebut, Allahyarham S. Atan, pernah menjelaskan tujuan asal penciptaannya, namun tetap menghargai sokongan peminat yang mengaitkannya dengan suasana perayaan Aidilfitri.
3. Halaman Asmara
Lagu duet Halaman Asmara nyanyian Awie dan Ziana Zain merupakan karya rock yang masih menjadi siulan ramai hingga kini.
Meskipun tiada perkataan raya dalam liriknya, lagu ini tetap dianggap sebagai antara lagu popular yang menggambarkan suasana Aidilfitri.
Dicipta oleh komposer Allahyarham Loloq dengan lirik oleh Johari Salleh, lagu ini asalnya merupakan lagu tema OST filem Sembilu 2 (1995).
Walaupun bertemakan percintaan, ramai pendengar merasakan ia sesuai dijadikan sebagai lagu raya, menjadikannya kekal relevan dan sering diputarkan di corong radio setiap kali Syawal menjelang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.