Memang mengecewakan sungguh dengan keputusan yang diambil oleh pihak Astro untuk Maharaja Lawak Mega 2013. Jumaat lalu, telah berlangsung separuh akhir rancangan ini dan sepatutnya salah seorang daripada 5 peserta bertanding disingkirkan. Ini kerana kebiasaannya “final” Maharaja Lawak Mega hanya akan menampilkan 4 peserta sahaja. Namun tiada penyingkiran telah dilakukan, sekaligus membuatkan ramai pengikut program ini mengamuk di Internet.
Kalau Abang Nara yang tak keluarkan duit mengundi pun bengang, pastinya yang berhabisan ratusan ringgit mengundi peserta kegembaran mereka turut “stress” dengan keputusan berat sebelah Astro ini. Secara jujur, kalau dilihat persembahan minggu lalu, Nabil ialah calon yang paling sesuai untuk disingkirkan. Bukannya Abang Nara tak suka Nabil, cuma lawak yang diketengahkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini memang jatuh merudum mutunya.
Malah lawak Nabil Jumaat lalu membuatkan peminat-peminat di Twitter terutamanya bengang. Mana tidaknya, sejarah hitam Luna Maya ditimbulkan kembali oleh Nabil sekaligus sedikit sebanyak menjatuhkan air muka si cantik manis dari Indonesia ini. Secara ikhlas, lawak Nabil terhadap Luna Maya memang agak kasar dan tidak sesuai. Bukan Abang Nara seorang yang berpendapat sebegini, ramai lagi di luar sana yang mempunyai pendapat yang serupa.
Apa pun Abang Nara serius kecewa dengan keputusan yang dilakukan oleh pihak Astro kali ini. Kalau bab-bab penyingkiran boleh diubah sesuka hati, mana keseronokan dan ketelusan di dalam pengadilan? Jangan-jangan nanti keputusan “final” pun boleh dimanipulasi oleh pihak Astro. Jangan sampai orang ramai hilang kepercayaan kepada Astro. Apa pula kata anda?