Dikhabarkan, semua barisan pelakon dan pihak produksi yang terlibat dengan pementasan teater “Korupsi Dewan Semandung” sedang mengalami masalah dengan Fauziah Ahmad Daud dek kerana bayaran yang sekian lama tertangguh.
Setelah berita ini tersebar ke serata media sosial, bukan sahaja pelakon veteran itu yang terkena tempiasnya malahan artis lain yang pernah atau pun bakal bekerjasama dengannya turut diasak netizen.
Antara daripada mereka ialah penyanyi Khai Bahar di mana konsert solonya “Dari Smule Ke Pentas Dunia” yang bakal berlangsung di Istana Budaya itu merupakan hasil terbitan syarikat milik Fauziah Ahmad Daud.
Tidak betah asyik menerima pertanyaan mengenai nasib konsertnya dan soalan mengenai isu yang sedang hangat itu, penyanyi tersebut telah memuat naik sebuah video di laman Instagram bagi menjelaskan pendiriannya dalam hal ini.
“Nama saya pun dah naik dan konsert solo saya yang akan datang. Saya sebenarnya tak nak buat pun video ni, saya tak nak masuk campur pun hal-hal begini.”
Khai terus menyatakan sesiapa yang berasa berhak menuntut hak milik mereka untuk hasil titik peluh yang diperah selama ini, sesungguhnya itu adalah urusan mereka.
Selain menambah, sesiapa sahaja memang sepatutnya mendapatkan apa yang harus menjadi milik mereka.
Walaubagaimanapun, lelaki ini menegaskan bahawa dia tidak pernah mengalami sebarang masalah sepanjang bekerja dengan Fauziah Ahmad Daud.
Bagi saya pula, sepanjang saya bekerja, berkenalan dengan beliau selama ini, saya rasa saya tak ada masalah langsung dengan beliau.
“Malah saya dapat ilmu daripada beliau, dapat benda positif dan tiada yang negatif. Dan saya rasa tak ada point langsung untuk saya masuk campur dalam hal ini.”
Khai juga meminta netizen terutama peminatnya supaya tidak memaksa dia lagi untuk memberikan kenyataan mengenai hal ini.
Lelaki itu menjelaskan bahawa dia hanya mahu memberi fokus kepada ibadahnya di bulan Ramadan ini dan memohon maaf sekiranya ada melukakan hati sesiapa.