Tiada Lagi Monopoli Astro Dalam Penyiaran Berbayar

Trending

Tiada Lagi Monopoli Astro Dalam Penyiaran Berbayar

Sejak lebih 22 tahun lalu rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan satu-satunya servis satelit berbayar di negara ini iatitu Astro.

Kini, monopoli itu bakal berakhir dengan munculnya empat lagi pesaing baru yang bakal memberi pilihan kepada para penonton Malaysia.

Advertisement

Perkara ini telah diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, menerusi Timbalan Menteri, Eddin Syazlee yang berkata tiada lagi monopoli Astro dalam penyediaan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar kerana terdapat empat lagi syarikat diberi hak yang sama untuk bersaing dalam menyediakan perkhidmatan itu.

Tempoh hak eksklusif dan keistimewaan yang diberi kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) untuk menyiarkan kandungan kepada orang awam melalui perkhidmatan satelit telah berakhir pada 28 Feb 2017.

Astro masih berhak meneruskan aktiviti penyiaran satelit ini atas dasar bukan eksklusif kerana lesen-lesen yang dimiliki Astro di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sah sehingga 1 Feb 2020 bagi Lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian.

Lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) pula tamat pada 28 Feb 2022.

Astro merupakan penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar pertama di Malaysia, tetapi telah berkembang ke negara Brunei dan Indonesia.

Perkhidmatan ini dijalankan di bawah kelolaan All Asia Broadcast Centre (ABC) yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Astro dimiliki hak sepenuhnya oleh MEASAT Broadcast Network Systems, di bawah syarikat Astro Malaysia Holdings Bhd. Perkhidmatan penyiaran Astro kini tidak terhad kepada satelit berbayar, bahkan juga menerusi IPTV (Astro IPTV) dan penyiaran satelit percuma (NJOI).

Menurut informasi yang diberikan oleh Eddin, sebanyak 35 syarikat diberi lesen CASP oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan penyiaran TV melalui pelbagai platform seperti satelit, penyiaran bebas ke udara, protokol Internet dan penyiaran televisyen ‘Digital Terrestrial Television Broadcasting’.

“Daripada senarai tersebut, empat syarikat telah dibenarkan memberi perkhidmatan penyiaran televisyen melalui platform satelit selain daripada Astro iaitu Ansa Broadcast Sdn Bhd, Jaringan Mega Sdn Bhd, Smart Digital International (M) Sdn Bhd dan High End Net Sdn Bhd.

Dengan pecahan monopoli dan penawaran pelbagai platform ini, rakyat akan mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati kandungan sama ada melalui penyiaran percuma dan tanpa langganan atau melalui penyiaran berbayar.

Selain daripada penyiaran melalui platform satelit ini, pengguna juga ada pilihan lain untuk menikmati kandungan penyiaran melalui atas talian dan plaftform ‘Over-the-Top’ seperti aplikasi Tonton, iFlix dan NetFlix.

Makin banyak pilihan untuk rakyat Malaysia dan diharap tidak ada pihak yang akan menyalahgunakan kemudahan yang telah diberikan ini.

Sumber:Bernama

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...