Melalui laporan Berita Harian, tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak menjadi punca utama seorang bayi berusia setahun tercampak keluar daripada kereta yang dipandu oleh ibunya dalam nahas ngeri yang berlaku di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu.
“Tak salahkan ibu bapa, tapi satu peringatan penting..”
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, laporan polis serta siasatan awal mendapati bayi tersebut tidak diletakkan di dalam kerusi khas sewaktu kejadian dan itu menjadi punca mangsa tercampak keluar lalu tersepit dalam kenderaan lain selepas lori muatan merempuh beberapa kenderaan di plaza tol terbabit.
Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Bayangkan jika bayi berada dalam kerusi khas, mungkin dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan.
Dalam pada itu, Loke turut berkata kerusi khas buat kanak-kanak itu adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi penumpang kecil dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan oleh kaum ibu bapa.
Brek gagal berfungsi punca lori hilang kawalan
Tambahannya lagi, penyelenggaraan kenderaan berat juga tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan PUSPAKOM yang dilakukan setiap enam bulan.
Lori terbabit ada permit sah, rekod PUSPAKOM masih ada, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan. Pemandu lori sendiri terpaksa melompat keluar menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi. Bukti awal termasuk rakaman video sudah menunjukkan kegagalan sistem brek.