Tampil membuat pendedahan tentang keadaan dirinya yang turut bergelut dengan masalah kewangan berikutan pandemik COVID-19, pelakon dan penyanyi Adibah Noor mendedahkan perkara tersebut kepada umum menerusi hantaran di laman Twitter miliknya susulan menerima banyak mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan kepadanya.
Menurut Adibah, beliau langsung tidak malu untuk berkongsi cerita kesusahannya kepada umum termasuklah terpaksa menjual beberapa barangan peribadi untuk menyara kehidupan.
sebab ramai yg mohon…
maafkan saya… ? pic.twitter.com/c3d9tQdRNc
— ADIBAH NOOR ??? (@adibahnoor) July 27, 2020
Tambah Adibah, meskipun mendapat tawaran berlakon selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau menegaskan bayaran yang diterima tidaklah semewah jika dibandingkan dengan harga sebelum wabak tersebut melanda Malaysia.
Katanya lagi, pengakuan tersebut bukanlah untuk menagih simpati tetapi ingin memaklumkan bahawa kehidupan serta pendapatannya turut terkesan akibat pandemik.
Lebih memeritkan, Adibah menyatakan beliau juga terpaksa menjual rumahnya untuk menyara kehidupan sekali gus memohon maaf buat semua kerana tidak mampu menghulurkan bantuan dari segi kewangan kepada golongan yang memerlukan.
Adibah bagaimanapun tetap menyeru rakyat Malaysia untuk kekal patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan bagi mengelak PKP dilaksanakan semula.
Menjengah ke ruangan komen posting tersebut, Adibah dihujani pelbagai kata-kata semangat dan sokongan daripada netizen agar kekal tabah mengharungi segala dugaan yang melanda ke atas dirinya.