Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan bahawa blok asrama tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, ditemui tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) mahupun jeriji besi di koridor bangunan.
Perkara itu disahkan oleh pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang tampil sebagai saksi keenam dalam prosiding inkues kematian pelajar tersebut. Menurutnya, pada 15 Julai 2025, beliau bertugas dari jam 8 malam hingga 8 pagi keesokan harinya.
Sekitar jam 2 pagi, Linah melakukan rondaan di blok asrama perempuan dan tidak menemui sebarang perkara mencurigakan. Namun sejam kemudian, ketika meronda blok berhampiran, seorang pelajar memaklumkan ada rakan mereka pengsan di longkang asrama.
“Saya bergegas ke lokasi dan mendapati Zara terbaring tidak sedarkan diri dalam longkang,” katanya sambil menambah beliau segera menghubungi Ketua Warden, Ustaz Azhari.
Linah turut merakam gambar keadaan Zara sebelum ambulans tiba pada jam 4 pagi dan membawanya ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.
Beliau yang sudah bertugas di sekolah itu sejak 2012 berkata, sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang kejadian luar biasa pernah diperhatikannya.