Seorang doktor pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli, memberitahu Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini bahawa tiada bukti dalam laporan perubatan yang menunjukkan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, didera atau diabaikan, memetik Malay Mail.
Ketika memberi keterangan sebagai saksi kelima pihak pembelaan dalam kes perbicaraan bela diri yang dihadapi ibunya, Ismanira Abdul Manaf, Dr Noor Aishah, 49, menjelaskan bahawa laporan perubatan daripada Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh tidak menyatakan sebarang unsur penderaan mahupun pengabaian terhadap kanak-kanak autistik itu.
“Saya melihat perkataan ‘mungkin’ itu sebagai sesuatu yang tidak pasti. Tiada satu pun laporan bedah siasat, polis atau perubatan yang menjurus kepada penderaan fizikal atau pengabaian,” jelas beliau semasa disoal peguam Haresh Mahadevan.
Menurut Dr Noor Aishah, berdasarkan definisi Persatuan Psikologi Amerika (APA), pengabaian terhadap kanak-kanak boleh berlaku dari segi emosi, fizikal, pendidikan atau kegagalan menyediakan keperluan asas seperti makanan dan perhatian. Namun, dalam kes ini, tiada bukti jelas yang menunjukkan mana-mana bentuk pengabaian berlaku terhadap Zayn Rayyan.
“Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan penjagaan yang baik untuk perkembangan fizikal, emosi dan intelek. Sekiranya elemen itu diabaikan, barulah ia boleh dianggap sebagai pengabaian,” katanya.
Beliau turut menerangkan bahawa penderaan pula merangkumi tindakan seperti memukul (penderaan fizikal) atau memaksa kanak-kanak terlibat dalam tingkah laku seksual (penderaan seksual).
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang merupakan penjaga sah kepada Zayn Rayyan, didakwa bersama suaminya telah mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, sehingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.