Hebat. Tiada siapa menyangka KL Gangster akan jatuh turun takhta namun itulah hakikatnya. Filem The Journey kini unggul di atas takhta kutipan filem tempatan tertinggi. Filem berbahasa Cina ini telah pun berjaya mengutip RM12.92 juta sehingga Ahad lalu dan masih lagi ditayangkan di kebanyakan pawagam seluruh Malaysia. Kemungkinan besar angka RM15 juta mampu dicapai oleh filem terbitan Astro Shaw dan Astro Shaw ini.
Filem The Journey mengisahkan Uncle Chuan yang berpegang teguh pada adat berasa kecewa apabila anak tunggalnya, Bee ingin berkahwin dengan jejaka Inggeris, Benji selepas sedekad menuntut di United Kingdom. Begitupun, kerana kasih seorang bapa, Chuan bersetuju tetapi dengan syarat. Mereka harus berkompromi dengan keinginannya untuk mengadakan majlis mengikut tradisi.
Malah cara mengundang tetamu juga konvensional dan konservatif iaitu mereka sendiri harus menyerahkan kad jemputan tidak kira di mana lokasinya. Lalu bermulalah perjalanan Chuan dan bakal menantunya merantau ke pelosok tempat. Tanpa mereka sedar, penjelajahan itu bukan sekadar misi jemputan ke kenduri kahwin, sebaliknya perjalanan mereka mengenal diri dan satu sama lain.
Tahniah diucapkan kepada pengarah, pelakon dan mereka yang terlibat di dalam filem The Journey ini. Apa yang berjaya dibuktikan menerusi kejayaan ini ialah filem yang bagus tanpa pelakon yang baik tetap akan ditonton oleh orang ramai. Daripada review yang Abang Nara baca, jalan cerita dan kisah yang dekat dengan rakyat Malaysia antara daya penarik filem ini. Kalau berkesempatan, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam berhampiran anda sebelum terlambat.