Thailand telah merancang untuk mengenakan cukai kepada para pengunjung yang ingin memasuki negara itu bermula dengan pengunjung yang menaiki penerbangan.
Memetik dari BFM News, Kementerian Pelancongan Dan Sukan negara itu telah mengeluarkan kenyataan berkenaan cukai yang bakal dikenakan iaitu sebanyak 300 Baht atau sekitar RM39 seorang.
Menterinya, Sorawong Thienthong berkata cadangan ini akan dibawa ke mensyuarat kabinet pada Januari 2025 untuk mendapatkan kelulusan dari semua pihak.
Cukai tersebut dijangka akan mengambil masa enam bulan untuk diperhalusi dan sekiranya mendapat kelulusan, maka kerajaan akan membina satu sistem yang mana pengunjung perlu membayar seara atas talian terlebih dahulu sebelum memasuki negara tersebut.
Dikhabarkan, fasa pertama akan melibatkan pengunjung yang menaiki kapal terbang untuk memasuki Thailand dan fasa kedua pula melibatkan pengunjung yang memasuki negara itu melalui jalan darat.
Menurut kementerian tersebut, pengunjung yang memasuki Thailand dengan jalan udara akan menyumbang kepada 70 peratus jumlah pelancong yang memasuki negara jiran itu pada tahun ini.