Pelakon, Sophia Albarakbah, mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubunginya, memaklumkan bahawa ramai akaun media sosial yang sebelum ini menghina dirinya kini telah memadam hantaran tersebut.
Jelasnya pada Utusan Malaysia pada tayangan perdana filem ‘Abu Si Raksasa’,
SKMM ada memaklumkan bahawa banyak akaun dan hantaran menghina saya sudah dipadamkan. Mereka minta jika ada hantaran baru atau pautan untuk mereka kenal pasti pelaku.
Sophia menegaskan, tindakan ini bukan sekadar untuk mempertahankan dirinya, tetapi juga untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa buli siber adalah isu serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Katanya,
Saya mahu orang sedar bahawa isu ini bukan perkara main-main. Mungkin sebelum ini mereka rasa tiada peraturan ketat, jadi suka hati memburukkan dan memfitnah saya. Dengan tindakan ini, semoga memberi pengajaran dan kebaikan kepada lebih ramai orang.
Pelakon itu juga mengakui, selepas dihina teruk, dia masih trauma membuka sebarang mesej di media sosial. Tambahnya,
Selepas semua ini berlaku, saya terlalu trauma untuk buka DM di Instagram. Lebih mudah biar pihak berkuasa uruskan dan selesaikan. Terlalu banyak mesej, sampai saya sendiri takut nak baca.
Bagaimanapun, Sophia memaklumkan terdapat individu yang menghubungi wakil peguamnya untuk memohon maaf.
Mungkin ada juga yang minta maaf di Instagram saya, cuma saya tak buka. Kalau mereka benar-benar menyesal, itu baik. Kita semua manusia, pasti pernah buat salah. Saya pun tidak sempurna. Kepada mereka yang sudah memohon maaf, saya ucapkan terima kasih dan semoga terus berbuat baik.