Sejak semalam, viral sebuah video menunjukkan situasi di pasar raya di mana pengunjung dilihat berebut mendapatkan barangan promosi.
Menerusi rakaman 30 saat itu, ramai pengunjung dilihat bersesak dan berebut air tin Coke yang dijual pada harga murah. Mereka berbuat sedemikian ketika dua staf pasar raya Econsave itu masih sedang menolak troli carton Coke berkenaan.
Masing-masing dilihat kelam kabut mengambil lebih daripada 1 carton dan meletakkan di dalam troli mereka. Susulan tularnya rakaman tersebut selepas dimuat naik di Facebook ‘We are Malaysia’, polis telah mengeluarkan kompaun kepada pengurus pasar raya terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, pihak pengurusan pasar raya tersebut untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengenai kejadian itu.
Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Medan Sejahtera, Jalan Lumut, Sitiawan, antara pukul 9 hingga 9.30 pagi pada Jumaat lalu.”
Katanya, kompaun bernilai RM1,000 telah pun dikeluarkan kepada pengurus itu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal pengunjung di dalam premis di bawah Akta 342.