Mengakui sentiasa teruja dan seronok melihat si abang beraksi di pentas nyanyian, adik kepada penyanyi Haqiem Rusli, Zali Rusli turut memasang impian untuk bergelar seorang penghibur.
Telahpun muncul dengan single bertajuk Pewangi, Zali berkata dia menerima sokongan serta galakan daripada Haqiem dalam usaha membina nama dalam industri muzik Malaysia.
Haqiem yang ditemui media juga berkata bahawa dia berasa kagum dengan semangat yang ditonjolkan dan akan sentiasa menyokong karier adiknya itu.
“Saya sebagai abang akan cuba sehabis baik untuk membina nama Zali dalam industri.. saya juga tidak keberatan untuk memberi tunjuk ajar melalui liku-liku dalam industri. Dia pun masih muda dan saya sentiasa memberikan galakan untuk dia jadi penghibur dan buatkan orang gembira dengan menyebarkan benda positif.”
Manakala Zali berkata dia gembira kerana diberikan peluang untuk menyanyi dan bersyukur kerana turut mendapat restu daripada ibu bapa.
Menurutnya lagi, orang tuanya telah meletakkan syarat supaya tidak mengabaikan pelajaran meskipun sudah terlibat dalam dunia hiburan.
“Setelah dilamar syarikat rakaman FMC Music, ibu bapa saya mengenakan syarat supaya tidak sesekali mengabaikan pelajaran. Abang memberikan sokongan sepenuhnya untuk saya melangkah kaki sebagai anak seni tetapi harus memberi tumpuan juga pada pelajaran.”
Zali yang kini berusia 15 tahun dan masih lagi bersekolah dilaporkan sedang giat mempromosikan lagu terbarunya berjudul Pewangi yang juga hasil ciptaan Haqiem dan juga Ibnu. Single tersebut dilaporkan telah dilancarkan menerusi laman Yotube FMC Music pada Jumaat lalu.
Sumber : mStar Online