Seorang wanita di Shanghai mengalami masalah kesihatan selepas tanpa sedar meminum air sisa buangan selama lima tahun akibat kesilapan pemasangan penapis air oleh seorang pekerja syarikat itu.
Wanita berkenaan, dikenali sebagai Liu, hanya menyedari perkara itu beberapa minggu lalu selepas menggunakan alat penguji kualiti air yang baru dibelinya.
Keputusan ujian menunjukkan air daripada penapisnya mempunyai kualiti lebih buruk berbanding air paip biasa. Bacaan jumlah pepejal terlarut (TDS) dalam air tersebut mencatatkan 600, iaitu lebih dua kali ganda daripada bacaan air paip biasa.
Penemuan ini menimbulkan kebimbangan Liu terhadap kualiti air yang telah diminumnya selama ini.
Setelah mengikuti cadangan pengguna internet, Liu memeriksa sambungan paip di belakang penapis airnya dan mendapati bahawa ia telah dipasang secara terbalik.
Akibat kesilapan ini, air yang telah ditapis sebenarnya dibuang ke saliran, manakala air sisa buangan yang sepatutnya disingkirkan disalurkan ke paip utama yang digunakannya untuk minuman dan kegunaan harian.
Liu turut berkongsi bahawa sejak enam bulan lalu, dia mengalami gangguan haid, dan pemeriksaan doktor sebulan lalu mengesahkan terdapat sedikit kerosakan pada hatinya.
Bagaimanapun, Liu mengakui tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan secara langsung masalah kesihatannya dengan penggunaan air tersebut.
Seorang pekerja jenama itu dikenali sebagai Zhang yang datang ke rumah Liu mengesahkan bahawa berlaku kesilapan pemasangan dan memaklumkan syarikat bersetuju untuk menukar elemen penapis air tersebut.
Zhang juga menyatakan bahawa pekerja yang melakukan pemasangan lima tahun lalu telah berhenti kerja dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.