Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi ini bagi menghadapi pertuduhan amang seksual terhadap remaja 17 tahun yang tular baru-baru ini.
Penyanyi berusia 28 tahun yang memakai sut berwarna hitam itu tiba sekitar jam 8.34 pagi tadi dan dilihat tenang serta menyapa petugas media di lobi mahkamah.
Assalamualaikum, okay Insya-Allah.
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin tiba menaiki kereta Mercedes dan ditemani ibunya.
Menurut Sinar Harian, pertuduhan akan dijalankan pada jam 9 pagi, di hadapan Hakim Datin M Kunasundary, dalam prosiding secara tertutup.
Minggu lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataannya berkata, arahan untuk menuduh seorang selebriti, telah diperoleh daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.
Katanya, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.