Kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, berkata keputusan sebulat suara itu dibuat atas dasar tanggungjawab organisasi tanpa melibatkan sebarang kepentingan peribadi, selain bertujuan melindungi integriti badan induk bola sepak negara.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil susulan situasi terkini yang menarik perhatian umum, selain bagi menegakkan prinsip tadbir urus yang baik serta akauntabiliti dalam pengurusan persatuan.
“Peletakan jawatan ini bertujuan menjaga reputasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia, selain menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk bebas menilai serta meneliti perkara berkaitan tadbir urus FAM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas Kali Kelima bagi penggal 2025–2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan sebarang pembaharuan dapat dilaksanakan tanpa gangguan persepsi, sekali gus membantu memulihkan keyakinan penyokong, rakan kongsi serta komuniti bola sepak negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun barisan Exco bagi penggal 2025–2029 baharu memegang mandat selama kira-kira 11 bulan daripada tempoh empat tahun yang ditetapkan, mereka sanggup melepaskan jawatan demi kepentingan nasional.
Untuk rekod, peletakan jawatan tersebut dibuat bagi mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia serta membolehkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menilai secara bebas tadbir urus FAM.
Langkah drastik itu turut menyusul selepas FAM didapati melanggar Kod Tatatertib FIFA berkaitan isu pemain naturalisasi, yang menyaksikan badan induk itu diarahkan membayar denda dan kini sedang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
