Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini telah melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Selepas lima tahun menanti, Syed Saddiq akhirnya dapat menarik nafas lega apabila hasratnya untuk membersihkan nama menggunakan saluran mahkamah.
Penentuan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian ramai itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim itu selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Panel hakim menyatakan bahawa terdapat percanggahan dan kesilapan dalam keputusan yang diumumkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Hakim juga menyatakan bahawa dana sebanyak RM120,000 yang disumbangkan adalah bagi tujuan kempen pilihan raya YB Syed Saddiq dan beliau merupakan benefisiari yang sah kepada dana tersebut.
Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman itu terhadapnya, dengan bersandarkan kepada 18 alasan menerusi petisyen rayuannya difailkan pada 12 Disember tahun lalu.