Sesi persekolahan murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4 akan kembali dibuka pada 15 Julai ini. Manakala bagi murid Tahun 1 hingga 4 pula sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai ini.
Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin memberitahu tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.”
Manakala bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka turut disaran untuk sama-sama mengikuti tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan. Sebelum ini KPM telah mengumumkan sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan awam bermula 24 Jun lalu.
Walaupun sesi persekolahan kembali dibuka, garis panduan dan SOP yang ditetapkan masih lagi akan diteruskan antaranya seperti menjarakkan meja sejauh 1 meter, pemeriksaan suhu badan dan waktu rehat yang akan dilakukan secara berperingkat.