Menerusi sidang media khas Perdana Menteri sebentar tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan lagi. Tempoh PKPB ini akan dipanjangkan selama 4 minggu iaitu sehingga 9 Jun 2020.
Beliau turut memaklumkan pelaksanaan PKPB yang bermula pada 4 Mei lalu dilihat berjalan dengan lancar dan teratur. Seramai 6.64 juta rakyat Malaysia atau 43.6 peratus telah kembali bekerja semasa pelaksanaan PKPB kali ini. Berdasarkan hasil kajian juga, Malaysia berada di tangga keempat antara 105 negara di mana tahap kepuasan rakyat dengan langkah diambil kerajaan untuk tangani COVID-19 adalah amat memuaskan.
Walaupun kini hanya ada empat kawasan yang masih berada di dalam zon merah, di atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tempoh PKPB perlu dilanjutkan. Lanjutan selama 4 minggu ini juga adalah pertama kali dilakukan berbeza dengan tempoh dua minggu yang sering dilakukan sebelum ini.
Rentas negeri tidak dibenarkan
Bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, Perdana Menteri memberitahu pergerakan merentas negeri untuk pulang ke kampung masih tidak dibenarkan. Namun, aktiviti ziarah menziarahi di dalam satu negeri dibenarkan tetapi hanya 20 orang sahaja dibenarkan di dalam satu rumah.
Selain itu, beliau juga mengingatkan orang ramai untuk patuhi peraturan penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka ketika musim perayaan ini. Perdana Menteri turut menyentuh mengenai SOP solat berjemaah yang sedang diperhalusi dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini.