Sebentar tadi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini susulan penularan wabak COVID-19. Keputusan ini diumumkan di dalam satu sidang media khas yang dilakukan di Putrajaya hari ini.
Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin menjelaskan pembatalan ujian ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap penguasaan murid yang terlibat. Terutamanya pelajar di tingkatan tiga yang memerlukan keputusan PT3 untuk menentukan aliran yang bakal diambil pada tahun hadapan.
Satu kaedah baru akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.
SPM dan STPM ditunda
KAWALAN PERGERAKAN | Peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda ke suku pertama 2021. pic.twitter.com/PFFBSj2lUp
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) April 15, 2020
Manakala bagi pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula menurut beliau akan ditunda ke suku pertama sesi persekolahan pada 2021.
Bagi calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan menduduki peperiksaan semester, pihak kementerian membuat keputusan untuk mengubah tarikh peperiksaan semester kedua ke Ogos 2020 dan semester ketiga pula akan diadakan pada suku pertama persekolahan 2021.
Tidak ketinggalan, penangguhan turut dilakukan bagi kemasukan pelajar baru ke peringkat pengajian tinggi buat sementara waktu. Turut dimaklumkan, sesi persekolahan hanya akan kembali dibuka semula selepas kerajaan betul-betul yakin dengan tahap keselamatan murid-murid di sekolah.
Namun pembukaan sekolah ini hanya akan melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.