Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya secara sukarela berkuat kuasa serta-merta atas faktor kesihatan.
Menurut Mohd. Shukri, beliau telah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tengah hari tadi bagi mempersembahkan surat peletakan jawatan tersebut.
Saya telah diperkenan untuk mengadap Raja Perlis pada hari ini dan telah menyatakan hasrat saya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis sebentar tadi.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berharap penggantinya kelak dapat meneruskan agenda dan perancangan yang telah digariskan, khususnya berkaitan pelaksanaan bajet negeri yang baru dibentangkan.
Ia bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Perlis ini dan teruslah bekerja dengan sempurna dan istiqamah dalam menentukan kehidupan kita yang lebih sejahtera sebagai rakyat yang berjaya, insya-Allah.
Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Mohd. Shukri memaklumkan beliau mengalami kesakitan di bahagian dada dan telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Ada masalah sedikit pada jantung dan selepas dua hari dirawat di hospital, doktor telah memberikan ubat.
Pada sidang akhbar sama, beliau turut memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Perlis atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang menggalas amanah sebagai Menteri Besar.
Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis kerana memberi peluang kepada saya menjadi Menteri Besar dan mentadbir Kerajaan Negeri Perlis dalam tempoh tiga tahun ini.
Mohd. Shukri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri serta rakyat Perlis atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya. – KOSMO ONLINE
Selai itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
