Semalam kita dikejutkan dengan angka positif COVID-19 yang mencecah 3 angka di Malaysia.
Salah seorang daripadanya adalah rakyat Kelantan. Hari ini, Jabatan Kesihatan negeri Kelantan (JKNK) telah mengesahkan seorang individu yang didapati positif Covid-19 merupakan individu yang baru pulang bercuti di Kundasang, Sabah. Menurut pengarah Dr Zaini Hussin, kes tersebut dikesan semasa saringan terhadap individu dari kawasan berisiko iaitu Sabah yang dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.Individu ini berusia 49 tahun dan mempunyai sejarah bercuti ke Kota Kinabalu dan Kundasang, Sabah pada 19 hingga 22 September lalu. Susulan pengesanan positif ini, seramai 48 kontak rapat telah dikenal pasti termasuk kontak dalam kalangan keluarga, kawan, tempat kerja dan dalam pesawat. Untuk makluman, setakat hari ini sebanyak 161 kes positif COVID-19 termasuk 3 kematian telah dilaporkan di Kelantan.
Sebagai informasi, kes terbaru ini tidak mempunyai sebarang gejala dan individu tersebut telah pun dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 23 September. Semoga kes COVID-19 tidak menular di Kelantan. Sila pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berada di Kelantan.