Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shahrul Anwar, mengesahkan bahawa kapal utama misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC), Conscience, telah tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel, selepas dipintas tentera laut Israel awal pagi Rabu waktu Malaysia.
Menurut beliau, kapal besar tersebut tiba sekitar tengah malam waktu tempatan selepas diambil alih sepenuhnya oleh tentera Israel.
“Kami maklum sejak pukul 12 tengah malam waktu Malaysia, kapal Conscience sudah sampai ke pelabuhan Ashdod. Kapal ini besar dan selepas dipintas, biasanya tentera Israel akan kendalikan sendiri. Jadi mereka percepatkan perjalanan sehingga sampai ke sana,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pagi tadi.
Beliau turut mengesahkan bahawa lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal tersebut berada dalam keadaan selamat, namun terdapat laporan beberapa peserta flotila mengalami kecederaan akibat kekasaran ketika insiden rampasan berlaku.
Sejam yang lalu, kami dapat pengesahan bahawa para peguam sudah berada di pelabuhan dan bersedia mengambil tindakan. Mereka belum dapat bertemu secara langsung dengan peserta, tetapi telah dimaklumkan ada peserta yang cedera akibat kekasaran yang berlaku.
Tambah beliau, proses rundingan untuk membawa pulang aktivis yang ditahan dijangka rumit kerana ia perlu melalui saluran perundangan dan diplomatik, termasuk penglibatan peguam antarabangsa yang kini berada di lokasi.
Ia satu proses yang kompleks kerana melibatkan tahanan di bawah kawalan pihak Israel. Jadi, setiap langkah mesti mengikut protokol undang-undang antarabangsa sebelum mereka boleh dibebaskan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul Zaman turut memaklumkan bahawa tiga ahli Parlimen Turki yang turut berada dalam misi tersebut sedang diuruskan untuk dihantar ke negara ketiga dan bukan terus ke Turkiye. – AWANI
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.