Kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar menyebabkan keadaan trafik di jambatan tersebut sesak teruk sejak jam 5.30 petang hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fadzik Othman berkata, kejadian berlaku di Kilometer 3.3 Jambatan Pulau Pinang.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.27 petang lalu terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang”
“Tiada akses laluan ke lokasi untuk membuat pemadaman. Bagaimanapun, anggota bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang sedang berusaha untuk ke lokasi tersebut melalui akses lain,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambahnya, siasatan dan operasi pemadaman sedang diuruskan.
“Kita belum memutuskan sama ada akan menggunakan bot atau alternatif lain untuk ke lokasi kebakaran kerana kabel itu berada di bawah jambatan. Buat masa ini, kita memadam api dari atas (jambatan) dahulu”
Pun begitu, operasi pemadaman masih dijalankan dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat.
Semoga semuanya baik-baik sahaja ya..Aamiin