Kenderaan persendirian dibenarkan untuk membawa empat penumpang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang bermula esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara ini di sidang medianya di Putrajaya hari ini.
“Kita tahu tiada penjarakan sosial berlaku di rumah. Setiap keluarga makan dan tidur bersama. Oleh itu kerajaan membenarkan kenderaan persendirian dinaiki maksimum empat orang dan mestilah dari keluarga yang tinggal di rumah yang sama.”
-Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Bagaimanapun Ismail Sabri menyatakan, kerajaan percaya akan ada pihak yang tetap ingkar pada peraturan ini dan membawa orang lain selain dari yang telah ditetapkan. Mereka yang melanggar arahan ini akan dikenakan tindakan.
Semua perkhidmatan kenderaan awam akan turut kembali beroperasi seperti sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi memudahkan perjalanan orang ramai.
Hanya separuh penumpang daripada kapasiti sebenar dalam pengangkutan awam dibenarkan sepanjang PKPB bagi memastikan penjarakan sosial ini dipatuhi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan untuk mula beroperasi mulai 4 Mei, dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Pekerja 2020.