Teka-teki mengenai hubungan antara penyanyi Amira Othman dan aktor Fattah Amin akhirnya terjawab apabila pasangan ini secara rasmi mengesahkan hubungan mereka.
Fattah, yang juga dikenali sebagai Abdul Fattah Mohd Amin, 35, membuat kejutan istimewa di majlis pelancaran single terbaru Amira dan adiknya, Irfan Haris, yang bertajuk Rasa & Takdir.
Ketika Amira, yang juga dikenali sebagai Nadia Amira Othman, 32, dan Irfan sedang membuat persembahan, suasana dewan bertukar meriah apabila bintang filem Pendekar Awang itu muncul dari belakang dewan dan berjalan menuju ke pentas.
Di penghujung persembahan, Irfan menyerahkan simbolik ‘kunci’ kepada Fattah sebelum aktor tersebut mengambil alih mikrofon dan membuat pengumuman rasmi mengenai hubungan mereka.
“Saya ingin meluahkan hasrat saya untuk berkongsi sesuatu yang sangat bermakna, kami berdua kini secara rasmi mengikat hubungan yang lebih serius,” ujar Fattah dalam pengumumannya.
Selepas itu, Fattah menyerahkan kembali simbolik ‘kunci’ kepada Amira sebagai lambang ikatan mereka yang baru terjalin secara rasmi.
Acara tersebut turut disaksikan oleh ibu bapa Amira, Othman Abdul Kadir, 62, dan Nora Arshad, 58, yang hadir memberi sokongan.
Pasangan ini akan melangsungkan pernikahan di sebuah hotel di Johor Bahru pada 14 September ini, yang juga merupakan tarikh kelahiran aktor tersebut.
Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa Fattah Amin bakal menamatkan zaman duda dalam waktu terdekat. Khabar tersebut disebarkan oleh pengguna Threads, Kimchikims_, yang mendakwa menerima maklumat tersebut daripada sumber yang boleh dipercayai.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.