Pelakon Sharnaaz Ahmad menasihati pencipta kandungan media sosial agar berhenti menghasilkan kandungan yang mengetengahkan isu suami takut isteri kerana menurutnya, perkara tersebut boleh membawa kesan negatif terhadap institusi rumah tangga sendiri.
Menurut Sharnaaz, kandungan dan lakonan sebegitu tanpa disedari akan menjadi sebati dengan diri pencipta kandungan, selain memberi contoh yang kurang baik kepada masyarakat.
“Aku bukannya marah tetapi lebih kepada nasihat. Betul kita kena ikut peredaran zaman yang semakin moden dan mahu beri pengaruh kepada orang ramai.”
“Tidak kisahlah lelaki atau perempuan yang suka buat kandungan mengenai isu takut bini. Sikit-sikit takut bini.”
Sharnaaz turut menegur pencipta kandungan wanita yang sudah bergelar isteri agar tidak memandang ringan implikasi kandungan sebegitu terhadap kehidupan rumah tangga mereka.
Beliau berpandangan kebanyakan rumah tangga individu yang sering menghasilkan kandungan bertemakan suami takut isteri akhirnya berdepan konflik serius.
“Kalau kalian perasan, yang mana suka buat konten ke arah tu, kesudahannya bercerai. Jadi ini nasihat saya, lelaki bukan takut dengan perempuan, tetapi hormat.”
“Tapi kalau dah buat konten ke arah macam terketar-ketar bila bini nak cakap, dia siapa? Dia seorang wanita saja.”
“Wanita memang watak yang sangat penting dalam kehidupan kita sebab tu Allah SWT ciptakan dia daripada lelaki sekalipun. Jadi, kita hormati wanita tetapi kita tak perlu takut dengan mereka,” tuturnya.
Tambah pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu, teguran yang dibuat juga didorong oleh keinginannya untuk tidak melihat lebih banyak kes perceraian berlaku akibat pengaruh kandungan media sosial.
“Kalau dalam perkahwinan kalian takut kepada seorang wanita, kalian akan ada masalah, percayalah.”
“Ini satu nasihat kepada daripada seorang yang dah tua dan pernah bercerai tetapi saya bercerai bukan sebab kes itu.”
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
