Terkesan Teguran Misbun Sidek, BAM Pertahan Sistem Latihan Sedia Ada

Trending

Terkesan Teguran Misbun Sidek, BAM Pertahan Sistem Latihan Sedia Ada

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kenyataan balas dengan menafikan negara ketandusan pemain pelapis dalam badminton negara selepas Datuk Lee Chong Wei, sekali gus menepis dakwaan kononnya negara tidak serius dalam membangunkan kualiti sukan itu.

Advertisement

Timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata keadaan itu dapat diterjemahkan melalui pencapaian pasukan badminton di Olimpik Rio baru- baru ini.

“Bila kita (BAM) mula-mula ambil alih kita fikir strategi serampang dua mata, pertama bagaimana hendak siapkan Chong Wei untuk Olimpik Rio kerana dia harapan negara sementara kedua kita memikirkan siapa selepas Chong Wei.

“Apa yang berlaku di Rio ialah kita dapat melahirkan pemain lain, bukan sahaja Chong Wei yang menjadi ikon kepada peminat badminton.

“Pemain muda seperti pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying ialah permulaan yang baik. Apabila ada ikon baharu ia dapat menarik minat generasi muda kepada sukan badminton,” katanya, lapor portal FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan bekas ketua jurulatih negara Datuk Misbun Sidek yang berkata Chong Wei tidak perlu dipersalahkan apabila tewas mendapatkan emas di Olimpik Rio, sebaliknya ia berlaku kerana Malaysia kekurangan sistem latihan atlet handalan yang sempurna dan maju.

Malah, Misbun berkata punca utama Malaysia tidak mampu melahirkan atlet dengan pingat emas ialah kerana masalah “duit” yang menyebabkan negara tidak dapat melatih atlet handalan negara seperti cara China melatih Lin Dan.

Norza bagaimanapun menepis kenyataan Misbun dan berkata kegagalan negara membawa pulang pingat emas bukan kerana BAM berdepan masalah kewangan sehingga gagal menyediakan sistem latihan yang berkualiti.

“Bagi saya dia (Misbun) tetap legenda badminton dan kita menerima secara positif teguran dibuatnya. Kita tengok dalam masa kegawatan ekonomi BAM mendapat tajaan paling besar daripada Celcom dan masalah kewangan bukan faktor penting atau masalah utama,” katanya.

Norza berkata BAM ketika ini berada pada landasan yang betul dalam memastikan kualiti serta pembangunan badminton sentiasa di depan dan memastikan kualiti latihan negara setaraf China.

“Bukan setakat kewangan tetapi ia melibatkan penyediaan kemudahan asas serta teknologi terkini. Ini juga melibatkan jurulatih bertaraf dunia dan kita ambil Morten Frost Hansen, Hendrawan, Tey Seu Bock dan lain-lain. Sebenarnya kita menuju ke arah penyediaan sistem latihan yang berkualiti di samping memantapkan program di akar umbi.

Beliau berkata hasilnya ialah kualiti badminton negara ketika ini berada pada kedudukan membanggakan dan ia diakui sendiri rakyat negara ini berdasarkan pencapaian pasukan di Olimpik Rio.

“Pertama kali kita layak untuk semua acara dalam Olimpik melibatkan lima acara sehingga berjaya ke final. Dua yang tidak layak ialah beregu wanita kerana mereka tewas di peringkat awal dan perseorangan wanita tewas disebabkan masalah kecederaan,” katanya.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...