Kecoh di laman Instagram kelmarin apabila pelakon jelita Hannah Delisha seakan menjadi tumpuan warganet selepas dirinya tampil memuat naik sekeping gambarnya mengenakan hijab dengan kapsyen “Bismillah”.
Seolah memberi gambaran positif terhadap penampilannya, kali ini, Hannah memutuskan untuk fotonya mengenakan hijab dijadikan sebagai gambar profile di Instagramnya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Hannah kepada BH Online, segala tanda tanya mengenai perkongsiannya itu terjawab apabila Hannah Delisha mengakui sudah pun berhijab.
Hannah berkata, niat tersimpan sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.
“Jika ikutkan, saya sudah berniat mahu memakai hijab sejak Ramadan lalu. Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan komitmen drama Cinta Sekali Lagi, niat berhijrah terpaksa ditangguhkan dahulu.”
Biarpun begitu, dalam satu entri terbaru, beliau juga dilihat sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk dirinya. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya dilihat menzahirkan rasa teruja dengan berita tersebut.
Dalam pada itu, ramai juga rakan selebriti serta peminat meninggalkan komen dan doa di ruangan komen entri tersebut yang sudah menghampiri 3,000 komen.
Sekadar informasi, Hannah merupakan pelakon yang berasal daripada Singapura, tetapi membina nama dan kerjaya di Malaysia. Malah dia turut mempunyai sebuah single, Tak Perlu Kata Apa-Apa, dalam mencari peluang untuk menjadi penyanyi.
Biarpun sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi bercinta dengan pelakon tampan Syafiq Kyle namun Hannah kini dilihat lebih matang dalam membina karier dalam dunia lakonan tanpa sebarang gosip liar. Sama-sama kita doakan semoga segala urusan Hannah dipermudahkan.
Sumber: BH Online