Kejadian yang berlaku di Mentakab, Temerloh baru-baru ini amat mengecewakan apabila seorang wanita sanggup menipu dirinya adalah mangsa banjir demi mendapat bantuan dari badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof, suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disalurkan oleh NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Disember tahun lalu.
Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan serta pelbagai sumbangan bernilai RM700.
Walau bagaimanapun, difahamkan dari artikel Free Malaysia Today, NGO tersebut telah menerima pelbagai aduan dari orang ramai yang mendakwa wanita itu telah menipu kerana alamat rumah yang diberi bukanlah kediaman beliau.
Dalam pada itu, Wazir berkata seorang ahli NGO itu membuat semakan sendiri dan mendapati wanita itu turut membuat permohonan bantuan dari NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.
Oleh kerana itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dimana wanita tersebut boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun serta sebat dan boleh didenda jika didapati bersalah.