Seorang lelaki warga emas merempuh dua orang anggota polis dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, semalam.
Susulan kejadian, dua anggota terbabit difahamkan cedera ringan di bahagian badan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya, mangsa yang juga anggota ronda Balai Polis Seri Iskandar itu dilanggar suspek ketika mahu keluar bertugas.
Katanya lagi, suspek yang memandu sendiri keretanya diiringi anggota polis ke balai selepas terbabit kemalangan di Seri Iskandar pada 12.10 tengah hari.
“Ketika melalui pos pengawal warga emas itu berhenti, namun tiba-tiba dia mengundurkan keretanya dan melanggar Proton Preve milik polis yang berhenti di belakang keretanya. Suspek kemudian memecut masuk ke dalam kawasan IPD dan melanggar dua anggota ronda yang mahu keluar bertugas menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan,”
Lebih perit, suspek juga telah menyeret sebuah motosikal yang dipandu mangsa sejauh hampir 100 meter dan dikejar beberapa anggota.
Katanya lagi, suspek berhenti selepas beliau melanggar sebuah pokok sebelum ditahan dan dua anggota terbabit dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.
“Suspek yang tidak cedera dibawa ke hospital sama untuk diambil sampel ujian darah. Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,”
Untuk rekod, motif kejadian masih belum dikenal pasti, malah suspek juga didapati bercakap seorang diri dan dipercayai berhalusinasi.
Sumber: Harian Metro