Kehilangan seorang ibu tunggal berusia 32 di Batu Pahat masih menjadi misteri selepas pihak polis gagal mengesan keberadaannya meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan.
Mengikut kronologi, Mila Sharmila Samsusah telah keluar dari rumah pada 14 Disember lepas bersama teman lelakinya untuk ke sebuah kedai dobi di Simpang Rantai.
Keluar pergi dobi, terus hilang
Wanita yang mesra dengan panggilan Bella itu keluar pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap.
Mereka bagaimanapun disyaki tidak ke kedai dobi tersebut sebaliknya melencong ke tempat lain dan kehilangan Bella disedari oleh kakaknya, Norhisham, 36, keesokan hari.
Rakaman CCTV di premis dobi tidak melihat langsung kelibat Bella pada hari kejadian. Saya dapat tahu teman lelakinya turunkan Bella berdekatan sebuah kedai tomyam di Jalan Kenangan, Kampung Bahagia kerana mereka bergaduh.
Baju dalam bakul ada dalam rumah
Selepas gagal menghubungi Bella, kakaknya membuat laporan polis pertama di IPD Batu Pahat pada 16 Disember dan laporan kedua, dua hari kemudiannya.
Bukan sahaja terus hilang dan telefon bimbit gagal dihubungi, lebih menjadi tanda tanya apabila pakaian yang diletakkan di dalam bakul yang sepatutnya dicuci di dobi ditemukan ada di rumah Bella keesokan hari selepas dia dilaporkan hilang.
Disebabkan timbul persoalan berhubung penemuan baju kotor itu, kami menemui jiran Bella untuk memeriksa CCTV dan kelihatan teman lelakinya sedang mengangkat bakul berisi baju masuk ke dalam rumah Bella.
Keluarga juga turut menggunakan aplikasi penjejak telefon bimbit Bella dan mendapati lokasi terakhirnya menunjukkan dia berada di hadapan rumahnya.
Namun, mereka tidak pasti jika Bella ada di dalam kereta Toyota Vios teman lelakinya (ketika mengangkat bakul) atau hanya telefon bimbit sahaja dipegang kekasihnya itu.
Teman lelaki ditahan
Susulan itu, polis dilaporkan telah menahan teman lelaki Bella pada 25 Disember lalu dan suspek kini direman sehingga 30 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata penahanan suspek yang berusia 24 tahun itu dipercayai mampu merungkai misteri kehilangan ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.