Baru-baru ini, UMNO memaklumkan bahawa parti itu belum menerima sebarang surat rasmi berhubung peletakan jawatan oleh YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti yang diumumkan di media sosial beliau.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook, Setiausaha Agung UMNO iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO memandang serius niat Tengku Zafrul yang mahu meninggalkan parti untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau turut menegaskan bahawa adalah tidak wajar mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima ahli parti lain tanpa melalui saluran yang betul.
Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakhormonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetusnya pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiaankawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, serta hasrat menyertai PKR.