Nampaknya kemelut rumah tangga yang dihadapi oleh Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof sudah pun menemui jalan penyelesaian. Malah pelakon wanita itu meminta agar semua orang mendoakan yang terbaik buat keluarganya.
“Kami sudah berbincang dan menemui jalan penyelesaian. Apa yang boleh dikatakan, saya dan suami dalam fasa berbaik. Kami mengharapkan doa yang baik.”
Sedar bahawa ada yang gembira apabila rumah tangga mereka dilharungi badai, Puteri Sarah berharap agar tiada yang meminta perkara buruk akan menimpa masjid yang sudah lama dibina itu.
Meskipun diuji, namun pelakon wanita itu meluahkan rasa syukur kerana pintu rezekinya dan dua anaknya sering diketuk. Dia juga menerima beberapa tawaran berlakon sekaligus membuktikan bahawa bakatnya masih lagi diperlukan industri seni.
“Saya melihat 2021 adalah permulaan yang baik untuk saya dan anak-anak. Mereka juga baru sahaja menandatangani kontrak untuk menjadi duta kepada produk bayi. Dalam masa yang sama, saya juga dilantik sebagai duta.”
Berharap agar perkembangan hidupnya terus positif, Puteri Sarah meminta supaya drinya akan menjadi insan yang lebih baik untuk tahun 2021.
“Pada 2021 ini saya mengharapkan perkara lebih baik berlaku dan insya-Allah moga dipermudahkan semuanya. Tahun ini juga saya mula menyertai kelas usrah sebab saya merasakan perlu mendalami ilmu agama.
Katanya lagi, sebaiknya dia memperbaiki dirinya dahulu sebelum membetulkan orang lain. Malah dia juga nekad untuk hidup dengan lebih positif, bahagia dan tenang.
Semoga hanya bahagia menanti pasangan Puteri Sarah dan Syamsul Yusof.