Telefilem “Demi Tuhan Aku Bersaksi” yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila kisah yang mengangkat aktiviti songsang dan mengetengahkan tema Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) dalam kalangan pelajar pusat tahfiz lakonan Syafie Naswip itu sehingga kini difahamkan masih belum ditayangkan.
Meskipun sudah satu tahun mendapat kelulusan tayangan, namun penerbitnya, Fadzil Zahari kecewa dan meminta penjelasan daripada pihak stesen televisyen RTM berikutan isu tersebut.
“Kami ada bertanya kepada pihak RTM tentang tarikh baru itu tapi masih tidak dapat jawapan yang pasti dari mereka,” ujarnya kepada mStar.
Tambah pemilik syarikat produksi Prokuya Studios itu lagi, tujuannya berkongsi perkongsian tersebut berikutan ramai yang mula bertanya mengenai telefilem terbitannya itu.
Hal ini kerana, pihaknya sebelum ini pernah berkongsi berkenaan telefilem tersebut di laman Instagram, namun beliau kini bagai hilang kata-kata kerana tidak tahu bagaimana mahu membalas segala pertanyaan tersebut.
Biarpun dilihat seakan kecewa, beliau juga turut menjelaskan bahawa telefilem berkenaan amat sarat dengan mesej positif selain dakwah yang disampaikan secara halus.
“Ia penuh dengan mesej yang positif jadi jika ia tidak ditayangkan, rugi la. Bagi sata, telefilem sudah terlau lama disimpan dan apa-apa isu berkenaan pusat keagamaan atau budaya hidup songsang juga sudah jarang dibincangkan jadi tidak salah untuk ditayangkan,” katanya.
Menurut suami kepada pelakon Yana Samsudin ini, telefilem itu juga turut mendapat maklum balas positif daripada beberapa agamawan termasuklah Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin.
Untuk rekod, sebelum ini gambar dan sinopsis telefilem ini viral di laman sosial sehingga menerima kecaman netizen kerana dianggap tidak sensitif berikutan jalan ceritanya seakan mengangkat elemen budaya hidup sonsang di pusat keagamaan.
Sumber: mStar