Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa atas kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Egusra Ali dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Saberi Othman memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang tinggi kerana kesalahan dilakukan adalah serius sehingga mangsa melecur tahap dua di bahagian dadanya.
Berdasarkan pertuduhan, Amirul Iskandar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap yang panas.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, kem Sungai Besi.
Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan merayu agar hakim menetapkan ikat jamin rendah dengan alasan kedua ibu bapanya adalah pesara kerajaan selain kerana dia masih dalam pengajian.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin, dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi pendakwaan. Sebutan semula kes adalah pada 22 Disember akan datang.